#TAHNIAH ~ Black Hanifah teruja bakal dapat anak perempuan
MEMAHAMI - Sebagai ibu bapa, Black dan isterinya tidak pernah menghalang minat anak lelaki mereka, Dayyan dalam bidang seni.
Kira-kira satu dasawarsa lalu, dia hanya seorang anak muda berusia awal 20-an yang mencuba nasib dalam program realiti, Mentor musim ketiga.
Ketika itu, Black atau nama lengkapnya, Hanifah Md. Hanafiah tidak kurang dipandang rendah kerana tiada wajah komersial dan fizikal yang biasa-biasa sahaja.
Bagaimanapun, dia berjaya memperdagangkan satu elemen yang paling penting dalam industri seni tanah air iaitu bakat.
Dengan vokal mantap serta peribadi merendah diri, dia berjaya diangkat sebagai juara program berkenaan yang ditayangkan di TV3. Sejak itu, kehidupannya bertukar.
Satu per satu ruang kosong dalam realiti hidup diisi dengan cerita bermakna.
Membina nama sebagai vokalis lelaki tanah air, Black menjadi antara produk realiti televisyen yang masih relevan sehingga sekarang.
Dia yang kini bahagia bersama isterinya, Naquia Yasirah Mohd. Khairi dan menggalas tanggungjawab sebagai bapa kepada anak sulung, Khaleef Dayyan, mengaku sudah melalui banyak fasa penting dalam hidup.
Kurang dua minggu daripada sekarang, kehidupannya akan terus didakap kemanisan apabila isterinya yang mesra disapa sebagai Cira bakal melahirkan anak kedua.
Mengikut perkiraan doktor, tarikh bersalin cinta hatinya itu adalah pada tanggal 6 November depan.
“Saya sudah bersedia 100 peratus untuk menyambut anak kedua ini. Barang bayi dan bilik tidurnya semua sudah tersusun rapi. Anak yang kedua ini persiapan lebih kemas. Sewaktu kelahiran Dayyan dulu, kami terlepas membuat persiapan rapi,” ujar Black.
Dengan penuh rasa bahagia, Black berkongsi jantina anak keduanya.
“Insya-Allah, mungkin anak perempuan. Cira akan bersalin secara pembedahan kerana berat dalam kandungan sekarang sudah hampir tiga kilogram. Nanti apabila sudah sampai waktu bersalin pasti akan lagi naik beratnya,” kata pelantun lagu Aku Rindu Sayang Kamu itu ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Oh My Family! musim kedua di ibu negara baru-baru ini.
Zuriat kedua
Dipelawa berbicara lanjut tentang keadaan isterinya sekarang, Black bercerita tentang alahan yang dihidapi Cira.
Katanya, Cira mengalami gatal-gatal sehingga selalu terjaga pada waktu malam.
“Saya pun tidak tahu. Dalam lingkungan pukul 3 hingga 5 pagi, dia akan terjaga dan suruh saya garu badannya. Kalau saya sudah mengantuk sangat dan tidak terlayan, dia minta sikat untuk garu sendiri.
“Waktu awal kehamilan dahulu, dia susah mahu bangun dan tidak boleh naik kereta. Maklumlah, dia pernah mengalami keguguran tiga kali, jadi kami berjaga-jaga lebih sikit. Kini selepas lapan bulan, keadaan semakin terkawal, namun masih alami gatal-gatal,” ujarnya.
Diasak pertanyaan sama ada dia akan mengikuti trend segelintir selebriti yang tiada masalah untuk berkongsi rakaman momen saat bayi dilahirkan, Black mengakui terfikir untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, dia berkata, tidak akan berkongsi rakaman tersebut dalam mana-mana platform laman sosial kerana ia hanya untuk simpanan peribadi.
“Tidak tahu lagi bagaimana keadaannya nanti. Mungkin saya akan rakam momen itu tetapi ia hanya untuk simpanan peribadi, bukan untuk dipertontonkan kepada umum.
“Biasanya seperti anak pertama saya sebelum ini, saya melihat proses (bersalin) itu dilakukan dan ingat memori itu dalam kepala sampai bila-bila,” tutur anak didik penyanyi dangdut Masa Idayu itu.
Ketika sidang akhbar berlangsung, anak sulung Black iaitu Dayyan saling tidak tumpah mewarisi bakat dan peribadinya.
Disuruh menyanyi, anak kecil yang berusia tiga tahun itu tanpa segan silu melaungkan vokal.
Diminta memberi pendapat tentang sesuatu perkara, dia pintar dan pantas memberi jawapan.
Black juga amat percaya putera sulungnya itu bukti kukuh menyantuni peribadinya seperti kata pujangga, mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
“Darah saya ada dalam darah Dayyan. Saya tidak menghalang kalau dia ingin mengikut jejak langkah saya menjadi penyanyi kerana sekarang pun dia memang sudah menunjukkan minat dalam bidang muzik.
“Di rumah, dia suka bermain dram dan suka menyanyi. Namun, pendekatan yang saya gunakan akan berikan ilmu akademik dengan secukup mungkin. Dia ingin menjadi penyanyi boleh, namun saya juga mahu dia berjaya dalam pelajaran,” terang Black.
Lagu Pokpet
Tambah pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-24 itu, tahun hadapan dia mula menghantar Dayyan untuk ke sekolah.
“Saya akan hantar dia ke sekolah dan mengikuti kelas bermain dram, piano dan berenang. Dengan itu dia akan boleh terus mengasah bakatnya. Saya tidak akan halang minatnya kerana dia berhak memiliki apa yang terbaik dalam hidup,” kongsinya.
Dijentik pertanyaan Black seperti menggunakan anak misalnya untuk mendapat keuntungan atau program di televisyen seperti Oh My Family!, dia mempunyai pandangan sendiri.
“Sekarang saya pergi mana-mana orang sudah tidak mahu ambil gambar dengan saya. Dayyan yang menjadi tumpuan orang (tertawa).
“Saya fikir ini semua rezeki yang diturunkan daripada Allah. Caranya mungkin macam ini dan saya tidak pernah terfikir untuk menggunakan anak untuk mengaut untung. Kalau bersesuaian dengan usia dan keadaan Dayyan sekarang, saya akan pertimbangkan,” jawab Black berhemah.
Dalam pada itu, Black bakal muncul dengan single terbaharu yang turut menampilkan Dayyan dalam lagu berkenaan.
Mengikut perancangan, lagu yang diberi nama Pokpet akan boleh didengari di platform muzik bermula 8 Oktober lalu.
“Lagu ini ditulis untuk perempuan yang sudah berkahwin. Untuk isteri yang suka berleter (pokpet). Dayyan memang suka buat benda baharu. Ada suara dia namun dia tidak sebut potpet, dia sebut toppet (ketawa).
“Klip video pun sudah rakam. Saya, Cira dan Dayyan sekali ada dalam video itu. Seronok dengar bahagian ‘nyanyian’ Dayyan kerana dia membuatkan lagu jadi lebih catchy,” tutupnya yang beraksi dengan rakan baik, Tomok dalam sebuah persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November depan.
Menggalas tanggungjawab bapa dengan tekun, Black yang kini menanti kehadiran cahaya mata keduanya, tidak mempunyai masalah andai anak sulung, Dayyan mengikut langkahnya sebagai penyanyi.
Namun, Dayyan perlu akur dengan syarat yang ditetapkan.-Kosmo!
from CARIAN PANAS https://ift.tt/2OhqxLh
0 Response to "#TAHNIAH ~ Black Hanifah teruja bakal dapat anak perempuan"
Post a Comment