#PKPB ~ Aiman Tino dakwa 'terperangkap' kes memancing di kolam
Aiman Tino mendakwa dirinya ‘terperangkap’ dalam kes kompaun RM1,000 selepas didapati memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, semalam.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama bapanya, Yusri Ishak, 51, dan adiknya Muhammad Haikal, 14, berada di lokasi ketika polis menyerbu masuk kawasan kolam berkenaan.
"Saya tergamam dan hairan mengapa polis menyaman saya dan ayah bersama pengunjung yang lain. Kami masuk ke kawasan kolam itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan pemilik kolam.
"Ketika serbuan polis petang lewat petang semalam, hujan lebat. Ramai pengunjung berteduh dalam sebuah bangsal dan ketika itu melebihi 20 orang.
"Polis enggan menerima penjelasan kami dan terus mengeluarkan kompaun kepada pengunjung," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media melaporkan seramai 59 pemancing termasuk dua pekerja warga asing dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), petang semalam.
Aiman mendakwa sepatutnya pengusaha kolam pancing itu dikenakan tindakan undang-undang dengan kompaun yang sesuai dan bukannya 59 pemancing lain yang datang ke situ.
Katanya, kejadian berlaku memberi kesan buruk kepada mereka yang patuh peraturan dengan mengamalkan penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup separuh muka dan mendapatkan nombor giliran untuk masuk memancing.
"Saya kesal disaman pihak polis bersama pengunjung lain," katanya.
Sementara itu, Yusri berkata, pemilik kolam berkenaan tidak berada di situ ketika kejadian dan hanya membiarkan pekerja Bangladesh menguruskan perniagaan itu.
Katanya, mereka rasa teraniaya dengan kejadian yang tidak disangka.
"Kami bukan sengaja langgar peraturan dan buat masalah," katanya.
Mereka dikehendaki melunaskan bayaran kompaun RM1,000 di Pusat Kesihatan Daerah Hulu Selangor selewat-lewatnya 8 Jun ini.-BH Online
from CARIAN PANAS https://ift.tt/2ZFCWgD
0 Response to "#PKPB ~ Aiman Tino dakwa 'terperangkap' kes memancing di kolam"
Post a Comment